Selamat Datang di Blog Bukan Artikel Biasa! Blog tempat membaca Artikel-Artikel Pilihan dan Download Game - Software Gratis!

Nama dan Bentuk Roh

Bismillahirrahmaanirrahim

Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Nama Dan Bentuk Roh

Di sini kita akan membincangkan tentang ruhul amri (hati) yakni perbahasan 
secara terhurai dan terperinci tentang perjalanan ruhul tamyiz atau ruhul amri 
atau qalbun (hati). Iaitu roh yang membezakan antara manusia, jin dan malaikat 
dengan haiwan. Setelah dikaji dalam kitab-kitab Islam, didapati ada 
bermacam-macam nama atau istilah roh yang diberi oleh ulama. Bahkan dalam Al 
Quran kalau kita lihat ada bermacam-macam nama. Antara yang terkenal ialah roh. 
Adakalanya ia dipanggil dengan qalbun - hati, fuaadun – hati sanubari, 
latifatur-rabbaniah atau ruhul amri . Pada orang Melayu ia juga dipanggil hati, 
nyawa, hati nurani atau hati sanubari. Tetapi yang terkenalnya adalah roh saja. 

Roh yang sedang kita perkatakan ini, kalau dia berperasaan seperti sedih, 
gembira, senang, terhibur, marah atau sebagainya, maka ia dipanggil dengan roh 
atau hati atau nyawa. Tetapi waktu ia berkehendak, berkemahuan atau merangsang 
sama ada sesuatu yang berkehendak itu positif atau negatif, baik atau buruk, 
yang dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram , di waktu itu ia 
tidak dipanggil roh, hati atau nyawa lagi. Tetapi ia dipanggil nafsu. Kalau di 
waktu ia berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan menyelidik, maka ia 
dipanggil akal.

Kalau begitu huraiannya, maka nafsu, roh atau akal ini hakikatnya adalah satu. 
Ia dipanggil akal di waktu ia berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan 
menyelidik. Walhal bila berperasaan, ia tidak dipanggil akal lagi, sebaliknya 
ia dipanggil roh atau hati atau nyawa. Tetapi waktu ia berkehendak, berkemahuan 
atau merangsang sama ada sesuatu yang berkehendak itu positif atau negatif, 
baik atau buruk, yang dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram, di 
waktu itu ia dipanggil nafsu. 

Kalau begitu walaupun ia mempunyai tiga nama atau tiga istilah tetapi 
hakikatnya adalah satu. Benda yang sama juga. Cuma peranannya saja yang tidak 
sama. Peranan yang tidak sama itulah yang menjadikan namanya tidak sama atau 
namanya berlainan. Untuk mudah difahami begini kiasannya: manusia bila dia 
berbohong dinamakan pembohong. Bila dia menipu dinamakan penipu. Tetapi bila 
dia mencuri dinamakan pencuri. Bila dia memimpin dipanggil pemimpin. Dinamakan 
pembohong, penipu, pencuri dan pemimpin, hakikatnya adalah orang yang sama. 
Cuma namanya berbeza bila peranannya bertukar. Kenapa fizikal yang sama boleh 
timbul istilah yang berlainan? Ini kerana peranannya tidak sama. Apakah bila 
namanya berlainan, orangnya berlainan? Tidak! Orang yang sama juga. 

Perlu diingat, bila kita membicarakan tentang roh ini, bukannya pula kita 
hendak mengkaji hakikat roh atau mengkaji ain ataupun mengkaji hakikat zat roh 
itu. Kerana zat atau hakikat roh itu tidak akan dapat dilihat oleh mata kepala. 
Kerana ia adalah jismullatif , yakni benda halus yang bersifat maknawiah atau 
abstrak. Iaitu tidak dapat dilihat oleh mata kepala tetapi terasa akan adanya. 
Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya: 
Maksudnya: "Mereka bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh. Hendaklah 
engkau katakan kepada mereka, 'Roh itu adalah urusan daripada Tuhanku'..." (Al 
Israk: 85)

Daripada ayat ini dapatlah kita faham bahawa hakikat roh itu tidak akan dapat 
dijangkau oleh mata kepala. Zat roh itu tidak akan dapat difikirkan oleh akal. 
Kita tidak tahu bagaimana rupanya. Sebab tidak dapat dilihat oleh mata kepala. 
Tetapi terasa oleh hati akan adanya. Maka oleh yang demikian, hakikat roh itu 
tidak dapat difikirkan oleh akal bagaimana rupanya, bagaimana bentuknya, berapa 
tebal atau panjangnya. Ia tidak dapat dibayangkan. Hanya Allah yang tahu dan 
tidak ada makhluk yang tahu. Walaupun Allah berkata hakikat roh atau zat roh 
tidak dapat diketahui dan tidak dapat dijangkau oleh akal dan mata kepala, 
namun ada juga ulama-ulama yang berijtihad tentangnya. 

Antaranya ialah Imam Malik. Beliau pernah berkata: "Roh manusia itu sama saja 
bentuknya dengan jasad lahirnya." Kalau diambil ijtihad Imam Malik itu, ertinya 
rupa roh kita ialah macam rupa bentuk badan lahir kita. Ini juga memberi erti 
bahawa walaupun Allah berkata roh itu adalah urusan-Nya, iaitu hakikat roh itu 
Allah saja yang tahu dan makhluk lain tidak mengetahuinya, tetapi tidak pula 
ada larangan dari Allah kalau ada sesiapa yang ingin berijtihad untuk 
mengkajinya. 

Bagi sesetengah orang, mungkin Allah beri ilmu yang mendalam tentang hal ini 
sehingga dia dapat menjangkaunya. Oleh itu maksud ayat Al Quran yang menyatakan 
'roh itu adalah urusan Tuhanku', Allah bermaksud kebanyakan manusia tidak dapat 
mengetahuinya tetapi tidak pula menolak kalau ada orang-orang yang tertentu 
secara khusus yang Allah beri ilmu tentang hakikat roh ini sehingga dapat 
menghuraikannya. 

Mengikut pendapat saya boleh jadi juga Imam Malik memperkatakan hakikat roh ini 
bukan berdasarkan ijtihadnya saja tetapi juga berdasarkan kasyaf. Kalau 
berdasarkan ijtihad tidak mungkin akal beliau dapat menjangkaunya kerana roh 
itu jismullatif (tubuh halus). Ia adalah hati nurani yang bersifat maknawiah. 
Diibaratkan seperti cahaya. Bahkan cahaya, dapat juga dilihat tetapi cahaya 
yang ini tidak dapat dilihat atau ia jenis cahaya yang tersembunyi. 

Bagaimana pula hendak diijtihadkan? Ijtihad itu dibuat pada benda-benda yang 
berketul atau benda yang dapat dilihat.Benda-benda yang boleh diraba dan 
dirasa. Tetapi roh, benda yang tidak boleh diraba, tidak boleh dirasa dan tidak 
boleh dilihat oleh mata kepala. Jadi bagaimana hendak diijtihadkan. Begitulah 
pandangan saya. Wallahu 'alam. 

Oleh itu atas dasar apakah roh seseorang itu seperti rupa bentuk lahirnya 
sebagaimana pendapat Imam Malik itu? Saya berpendapat Allah beri dia (Imam 
Malik) kasyaf. Allah perlihatkan roh itu. Roh yang jismullatif itu dibentukkan, 
dilihatkan macam rupa diri seseorang itu. Kalau begitu apa yang dimaksudkan 
oleh Al Quran bahawa tidak ada orang yang mengetahui hakikat roh itu melainkan 
Allah saja, itu adalah untuk orang awam. Manakala bagi orang yang khusus macam 
Imam Malik mungkin Allah beritahu padanya sebagai karamahnya. Pendapat Imam 
Malik ini agak munasabah, boleh diterima dan agak rasional. Contohnya kita 
bermimpi melihat seseorang yang kita tidak pernah jumpa atau dengan orang yang 
pernah kita jumpa sama ada yang masih hidup mahupun sudah mati. 

Apa yang kita lihat dalam mimpi itu serupa dengan bentuk lahir orang itu. 
Sedangkan orang yang kita lihat dalam mimpi itu rohnya bukan orangnya. Mungkin 
waktu itu orang tersebut berada di rumah atau telah berada di alam Barzakh. 
Jadi di waktu itu dia adalah roh. Roh bertemu dengan roh. Tetapi mengapa dalam 
mimpi kita roh orang itu serupa dengan dirinya? Sedangkan bukan berjumpa 
jasadnya tetapi rohnya. Ini membuktikan roh orang itu macam jasadnya juga. Jadi 
benarlah apa yang diijtihadkan oleh Imam Malik itu. Begitu juga orang yang 
diyakazahkan melihat secara jaga orang yang sudah meninggal dunia. 

Contohnya melihat Rasulullah, melihat para ulama zaman dahulu atau sesiapa 
sahaja yang dia kenal. Dia melihat Rasulullah betul-betul macam Rasulullah. 
Atau dia melihat gurunya benar-benar macam gurunya, melihat ibu dan ayahnya 
serupa macam ibu dan ayahnya, tidak ada cacatnya. Sedangkan mereka sudah mati. 
Waktu itu yang dilihat adalah rohnya. Ini juga membuktikan benarnya pendapat 
Imam Malik yang mana roh seseorang itu serupa dengan diri lahirnya. 

Contoh lain, Rasulullah SAW sewaktu diisrak dan dimikrajkan telah ditemukan 
dengan roh para rasul dan para nabi. Rasulullah SAW lihat mereka sepertimana 
melihat jasad-jasad mereka. Ini juga merupakan bukti yang rasional bahawa roh 
seseorang itu sama rupanya dengan bentuk jasadnya. Boleh jadi juga ayat Al 
Quran di atas itu bermaksud bahawa ayat itu khusus ditujukan kepada orang-orang 
kafir. Yakni mereka ini memang tidak memahami tentang perjalanan roh dan 
fungsinya. Allah SWT memberitahu kepada kekasih-Nya, Rasulullah SAW bahawa 
mereka tidak akan faham tentang hal ini. Kekufuran mereka itulah yang 
menghijabnya sepertimana huraian saya yang panjang lebar tentang hal ini di 
dalam Bab Mata Hati. Dikeranakan itulah menjadi penyebab mereka langsung tidak 
memahaminya. 

Allah SWT tidak meminta Rasulullah SAW bersusah payah untuk pergi memahamkan 
orang-orang kafir itu tentang hal roh ini. Lantaran itulah dikatakan roh itu 
urusan Allah. Ini bukan pula bermaksud umat Islam pun turut sama dilarang 
mengkaji tentang roh. Bahkan umat Islam mesti memahaminya sungguh-sungguh 
tentang perjalanan roh ini. Kalau tidak bagaimana pula hendak membaiki diri? 
Atau bagaimana hendak mengekalkan watak-watak kemanusiaannya dan bukan watak 
kebinatangannya. Untuk ini kita wajib memahaminya serta menghayati watak- watak 
kemanusiaan itu. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Kerana hati manusia 
boleh menerima perintah suruh dan perintah larangan. Kerana itulah ia disebut 
ruhul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, maka ia disebut ruhul 
hayah.
sumber: http://www.mail-archive.com/keluarga-islam@yahoogroups.com/msg16760.html

0 comments:

Post a Comment